NEA logo
Singapore Government
Search
collapse 
expand 
expand 
expand 
expand 
collapse 
collapse 
collapse 
 
Weather Today
PSI Update
 
Subscribe to our RSS
     
 
   
  News Release
 
   
Ucapan Encik Sidek Saniff, Menteri Negara Kanan (Sekitaran) Di Majlis Anugerah Persuratan Pada 20 Oktober 2001, Perkampungan Melayu Di Singgahsana Hall, Malay Village
   
Speech Release

Pengerusi, Jawatankuasa Anugerah Persuratan Ahli Jawatankuasa Anugerah Persuratan Ahli Majlis Bahasa Melayu Singapura Wakil-wakil pertubuhan Para penaja dan para hadiran sekalian. Assalamualaikum Wr. Wb.

1 Banyak sekali perkara yang telah berlaku berkaitan perkembangan bahasa Melayu setempat dan di peringkat antarabangsa. Saya telah menghadiri dua aktiviti bahasa Melayu yang penting. Satu ialah persidangan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada bulan Ogos dan satu lagi yang baru sahaja berlangsung minggu lepas iaitu Persidangan Dunia Melayu anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) yang mana saya telah menyampaikan ucapan dasar dalam majlis tersebut.

2 Beberapa perkara telah ditimbulkan dalam kedua-dua majlis. Dalam persidangan MABM yang anggotanya telah mencapai 30 buah negara, mereka telah bersetuju betapa pentingnya untuk mewujudkan rangkaian sedunia (world-wide network) dalam bidang pengajian Melayu. Dengan adanya usaha secara sedar untuk menggembelengkan sumber-sumber yang terdapat di merata dunia, bahasa Melayu akan kekal sebagai salah satu bahasa utama dunia dengan penutur yang melebihi 250 juta orang.

3 Singapura melalui Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Institusi Pengajian Tinggi setempat akan memainkan peranan mewujudkan rangkaian tersebut. Baik dari segi usaha formal seperti memorandum persefahaman antara negara-negara anggota MABM mahupun secara gigih menyumbang kepada pusat sumber yang bakal diwujudkan pada masa hadapan.

4 Usaha sebegini akan memperkayakan lagi khazanah dunia Melayu dan saya yakin bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu akan tersebar luas di arena antarabangsa.

5 Dalam persidangan Dunia Melayu, saya telah menekankan peri pentingnya mewujudkan jati diri Melayu dengan tiga teras penting; bahasa, budaya dan agama. Teras ini mempunyai faktor pengubahnya: proses sejarah, geografi, globalisasi dan Dasar Nasional.

6 Ledakan maklumat dan rangkaian internet yang tidak mengenal sempadan pula akan memainkan peranan betapa faktor pengubah ini boleh mengketarakannya.

7 Kita tidak menafikan bahawa ledakan maklumat ini tidak dapat dielak dan kita juga sedar bahawa penyebaran maklumat ini perlu di dunia ini. Tetapi kita perlu mendidik anak-anak kita, bijak menggunakan maklumat tersebut dan menapis maklumat-maklumat yang berunsur negatif, melampau dan boleh meruntuhkan akhlak. Jika kita tidak berusaha melaksanakan tugas ini, nyata jati diri kita, jati diri masyarakat Melayu akan terjejas. 8 Kita tidak dapat menafikan peranan penting yang dimainkan oleh akhbar tempatan dalam penerbitan karya sastera hasil tulisan penulis-penulis Singapura. Setiap minggu, sekurang-kurangnya sebuah cerpen dan beberapa kuntum sajak tersiar di akhbar Berita Minggu.

9 Di samping akhbar tempatan Berita Harian dan Berita Minggu, terdapat juga edisi talian terus (on-line) akhbar tersebut. Saya ingin menyarankan agar pihak Berita Harian mengeksploitasikan potensi akhbar edisi talian terus.

10 Kalau bilangan karya sastera yang dapat disiarkan pada hujung minggu agak terhad, situasi ini dapat diatasi jika karya-karya tersebut disiarkan di edisi talian terus; cyberita.asia1.com.sg. Lebih banyak karya penulis setempat dapat disiarkan dan secara langsung mendedahkan penulis-penulis ini; baik yang muda mahupun yang mapan.

11 Bukan itu sahaja, malah karya-karya ini dapat dibaca, dinikmati,dan dihayati oleh khalayak dunia dan dengan rangkaian dunia Melayu yang saya sebutkan di awal ucapan saya, saya yakin pada suatu masa kelak, karya-karya Singapura akan mencapai status Karya Agung.

12 Tragedi 11 September yang melanda Amerika Syarikat telah mengingatkan kita betapa pentingnya bagi kita bersikap tenang dan rasional apabila menangani isu tersebut. Betapa pentingnya bagi masyarakat majmuk Singapura yang berbilang bangsa, berbilang agama mengekalkan keharmonian kaum yang telah kita kecapi selama ini.

13 Baru-baru ini, pemerintah telah mengumumkan negara Singapura sedang menghadapi kemelesetan ekonomi. Walau bagaimanapun, usaha-usaha di luar belanjawan negara telah dilaksanakan bagi mengatasi kemelesetan ini. Pemerintah telah mengambil langkah-langkah bagi membantu golongan-golongan yang terjejas termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

14 Dua perkara kita boleh pelajari dari kemelesetan ekonomi ini. Pekerjaan boleh timbul dan boleh hilang pada bila-bila masa sahaja. Pekerjaan yang kita lakukan pada hari ini mungkin akan menjadi tidak relevan pada masa akan datang. Oleh itu, adalah penting bagi setiap warga Singapura terutama para pekerja meningkatkan diri mereka dengan latihan-latihan yang akan menyediakan mereka dengan ilmu dan kepakaran bagi menghadapi cabaran pada alaf ini, abad ke-21.

15 Seperkara lagi ialah tentang langkah-langkah yang diambil oleh pemerintah bagi meringankan beban rakyat Singapura. Ini semua dapat dilakukan hanya dengan adanya pemerintah yang berwawasan jangka panjang. Pemerintah yang mementingkan rakyatnya dan merancang masa depan negara secara teliti dan strategik.

16 Lebihan hasil negara tidak berlaku dan tidak terkumpul dengan sekelip mata sahaja. Ia mengmabil masa dan perancangan yang panjang tetapi hasilnya dapat dinikmati bersama oleh rakyat Singapura seperti apa yang berlaku sekarang; pembahagian saham baru dan pelbagai bantuan bagi golongan berpendapatan rendah dan mereka yang dibuang kerja.

17 Kedua-dua episod ini iaitu Tragedi 11 September dan Kemelesetan, saya yakin akan mnjadi bahan penulisan kreatif anda sekalian. Mungkin telah ada pun di antara para penulis yang melakukannya.

18 Bagi pemenang-pemenang anugerah persuratan pada hari ini, saya ucapkan tahniah dan teruslah berkarya demi masa depan generasi kita akan datang. Karya-karya sastera menyumbang dan membantu membentuk keperibadian sesuatu masyarakat. Bahasa menunjukkan bangsa.

19 Bagi pihak penganjur, syabas kerana berjaya menganjurkan majlis yang berpristij dan membanggakan ini. Semoga usaha ini berterusan dan merancakkan lagi arena kesusasteraan di Singapura.

20 Sekian, terima kasih dan Wassalam.

Sidek Saniff Menteri Negara Kanan (Sekitaran) dan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura

ENV NEWS RELEASE NO: 142/2001

DATE OF ISSUE: 20 OCT 2001

   
 
   
 
 

NEA Call Centre Hotline: 1800-CALL NEA (1800-2255 632) / Fax: 62352611 / Enquiry Email: Contact_NEA@nea.gov.sg
Dial-a-weather Hotline: 65427788
 
 
Business Individual School